Buku Ungu Tiramisu dan Qahwah (UTQ) mengandungi koleksi puisi dan prosa daripada dua orang penulis yang berbeza. Mengeksplorasi dunia ungu melalui perjalanan dan pengalaman yang menghanyutkan penulisnya dalam kesederhanaan ronanya. Persoalan timbul adakah dia mampu bertahan dengan rona kegemarannya sehingga ke hari ini? Pastikan selepas menelusuri keunguan karya Ungu Tiramisu cuba hayati setiap bait kata dan rasa menyelam maksud yang terpendam dalam karya Qahwah. Qahwah itu kopi. Kopi yang mengandungi rasa. Rasa yang jujur bagi yang menerimanya. Penulis ingin mengajak pembaca meresapkan hikmah dan peluang kehidupan serta cara belajar daripada alam untuk mengabdikan diri kepada Pencipta. UTQ dua buku yang berbeza. Cumanya punya impian yang sama. Berkongsi kisah dan rasa kepada pembaca.
Kempen telah tamat
PERJALANAN KARYA UNGU TIRAMISU DAN QAHWAH (UTQ)
Alhamdulillah saya dan rakan saya dihalakan haluan ke sini untuk menerbitkan buku impian kami. Allah lorongkan ke jalan ini melalui penghasilan karya kami Ungu Tiramisu dan Qahwah (UTQ) untuk bertemu kalian. Walaupun nama kami begitu asing dalam industri penerbitan buku negara, namun harapan untuk menghasilkan buku kami sendiri akhirnya dipermudahkan. Kami pernah mengikuti beberapa bengkel penerbitan. Cuba mencari peluang dan harapan walaupun industri buku tidak semeriah seperti sebelum ini. Kami mengambil cabaran berhadapan pandemik yang melanda dunia sebagai hikmah untuk terus berkarya dengan cara mengeratkan ukhuwah. Mengharapkan penulis dan bakal pembaca sama-sama berkerjasama merancakkan kembali industri buku negara melalui projek FundMyBook yang memberikan kami pengalaman baharu yang begitu bermakna. Terima kasih kepada Dr. Shahrul Ifwat dan rakan penyelidik atas usaha mengadakan pelantar Crowdfunding Islamik yang dapat membantu pendanaan penulis baharu. Semoga setiap manfaatnya menjadi bekalan di akhirat buat semua yang terlibat menjayakan program ini.
UNGU TIRAMISU (UT)
Aku suka ungu.
Apa kamu
juga sama
suka sama ungu?
Cuma pertanyaan bisuku.
Cetusan idea untuk menghasilkan buku ini sudah terbit sekian lama kerana diri sangat meminati rona ungu sejak di bangku sekolah dan menggemari coklat tiramisu keluaran satu syarikat terkenal di Malaysia bahkan pernah bekerja sambilan sebagai salah seorang pekerja melipat kotak coklat di syarikat tersebut. Walaupun pada suatu masa dahulu, coklat tiramisu kegemaran saya agak mahal jika dibeli dengan duit poket sendiri iaitu pada zaman kuliah, namun kerana begitu menyukai coklat tersebut saya turut menghadiahkannya kepada orang sekeliling termasuklah sebagai cenderamata di majlis perkahwinan saya dan juga sebagai tanda mata percuma kepada mereka yang membeli jualan tudung keluaran saya sendiri. Namun, penjualan tudung saya tidak dapat diteruskan selepas saya diterima masuk sebagai seorang pensyarah di universiti awam. Tanggungjawab dan komitmen berbeza yang digalas sebagai seorang pensyarah berbanding pelajar sebelum ini menjadikan saya lebih cenderung untuk menghasilkan buku sendiri. Bukan hanya buku ilmiah namun ke corak pasaran buku yang lebih terbuka. Bacaan santai berbentuk puisi ringkas ingin disajikan kepada pembaca. Mungkin apa yang terkandung dalam buku yang ditulis juga mengandungi persamaan dengan diri pembaca. Yang juga mungkin menyukai rona ungu dan coklat tiramisu seperti saya. Namun, pada kali ini saya tidak menghadiahkan kalian dengan coklat tiramisu tetapi karya Ungu Tiramisu kepada bakal pembaca yang sudi menjadi penaja buku ini.
Diharapkan perkongsian buku ini dapat memupuk minat pembaca yang mungkin sudah lama tidak menyelak halaman buku, namun dapat memulakan dengan pembacaan yang santai supaya menjadi pemangkin untuk membaca buku yang lebih kompleks selepas ini. Menyedari masyarakat mutakhir lebih cenderung kepada pembacaan dalam media sosial, diharapkan manfaat dalam penghasilan buku ini dapat mencetuskan minat masyarakat untuk kembali membaca buku fizikal. Bagi mereka yang mempunyai kekangan masa untuk menyelak halaman buku yang tebal dan sarat dengan tulisan, membaca buku ini sangat sesuai dimiliki sekiranya anda berhasrat untuk mencari bahan bacaan santai dan ringkas, namun terisi dengan pengalaman penulis untuk membawa anda meneroka dunia sang Ungu dengan tiramisu. Pastikan kamu yang menyukai ungu atau tersuka dengan ungu mendapatkan buku ini melalui program Crowdfunding. Mari membaca kisah Ungu sambil menikmati coklat tiramisu.
QAHWAH (Q)
Perancangan buku ini ditulis hasil galakan daripada seorang pensyarah dari UMS agar saya cuba menghasilkan buku puisi sendiri memandangkan saya cenderung meluahkan setiap perkara yang dialami dalam bentuk puisi. Walaupun perancangan menerbitkan buku "Qahwah" pada asalnya ingin dihadiahkan kepada beliau semasa hayatnya, namun Allahyarham pergi sebelum sempat buku ini diterbitkan. Puisi 151 dalam buku ini didedikasi istimewa kepada Allahyarham. Semoga dengan terbitnya buku "Qahwah" menjadi satu amalan berterusan yang dapat kita bajai bersama-sama di akhirat kelak. Variasi rasa hadir dalam diri setiap kali berhadapan dengan pengalaman bermakna. Ada suka ada sebaliknya. Lantas semuanya diluahkan dalam bentuk puisi. Adakalanya coretan puisi digabungkan dengan lakaran lukisan yang dapat menggambarkan maksud puisi yang ditulis. Setiap pengalaman yang dilalui begitu berbeza. Adakalanya berkaitan dengan emosi yang terasa berat. Menulis puisi merupakan cara saya untuk menzahirkan apa yang terpendam. Apa yang dirasa tidak hanya disimpan. Biar diluahkan agar sama-sama dapat menyelam rasa apa yang dirasa.
Kata,
disulam cinta
mengubat rasa.
Kata,
diikut rasa,
melukai cinta.
Buku "Qahwah" ini merupakan cadangan nama tajuk buku yang terbit daripada saranan rakan saya Noor Fadilah Dawi. Begitu dia mengenali diri ini sebagai seorang pensyarah bahasa Arab yang sangat menyukai kopi. Apa kata dihadirkan sebagai tajuk buku yang sinonim dengan pengisian puisi saya, lalu maksud kopi itu diterjemahkan menjadi Qahwah dalam bahasa Arab. Puisi yang ikhlas. Walaupun pahit untuk ditelan. Sepahit kopi tanpa sedikit rasa manis adakah dapat diterima? Maka hadirnya buku "Qahwah" ini diharapkan dapat dikongsikan kepada pembaca melalui pelantar Crowdfunding. Jika dahulu kita hanya membaca buku tanpa mengetahui sebab buku tersebut perlu diterbitkan dan dimiliki, namun melalui program FundMyBook ini kita sangat dekat dengan bakal pembaca yang ingin memiliki setiap buku yang akan diterbitkan. Saling membantu amalan yang patut diteruskan dalam usaha murni menerbitkan sebuah buku.
PAKEJ SUMBANGAN
Kepada bakal pembaca yang sudi menjadi penaja buku ini, setiap sumbangan akan diberikan ucapan penghargaan dan buku UTQ sebagai hadiah mengikut pakej yang berikut, iaitu:
Pakej A (Wakaf) = RM20 (1 buku Ungu Tiramisu atau 1 buku Qahwah) *akan diwakafkan ke perpustakaan atau sekolah terpilih.
2 buku = RM40
3 buku = RM60
dan seterusnya.
Pakej B (Pilihan hati) = RM30 (1 buku Ungu Tiramisu atau 1 buku Qahwah tanpa pos) *Sila nyatakan tajuk buku yang dipilih.
Pakej C (Pilihan hati) = RM50 (1 buku Ungu Tiramisu atau 1 buku Qahwah + pos) *Sila nyatakan tajuk buku yang dipilih.
Pakej D (Kombo UTQ) = RM60 (1 buku Ungu Tiramisu + 1 buku Qahwah tanpa pos).
Pakej E (Kombo UTQ) = RM85 (1 buku Ungu Tiramisu + 1 buku Qahwah + pos).
Pakej F (Kombo UTQ) = RM150 (2 buku Ungu Tiramisu + 2 buku Qahwah + pos).
Pakej G (Kombo UTQ) = RM240 (3 buku Ungu Tiramisu + 3 buku Qahwah + pos).
JOM BERSAMA SERTAI KEMPEN DANA UTQ!
Langkah 1: Klik support this campaign
Langkah 2: Pilih Bank Transfer atau FPX
Langkah 3: Masukkan jumlah sumbangan berdasarkan pakej yang dipilih.
Langkah 4: Sila Whatsapp nama, resit pembayaran dan alamat untuk urusan pengeposan buku (019-2801360).
Terima kasih kerana turut sama membantu kami merealisasikan penerbitan buku UTQ melalui dana yang telah disumbangkan. Semoga segala kebaikan tinggi nilainya di sisi Allah.
Funder | Amount | |
---|---|---|
Anonymous | RM 240 | |
Anonymous | RM 240 | |
Anonymous | RM 165 | |
Anonymous | RM 150 | |
Anonymous | RM 150 | |
Anonymous | RM 85 | |
Anonymous | RM 85 | |
Anonymous | RM 85 | |
Anonymous | RM 85 | |
Anonymous | RM 60 |