panduan

SOALAN LAZIM DANABUKU

Tentang maklumat lanjut mengenai permohonan kempen, cara hebahan kempen serta penerimaan dana.

DanaBuku merupakan pelantar crowdfunding (pendanaan awam) Islamik bertujuan merealisasikan manuskrip penulis dalam bentuk karya yang bercetak. Pelantar ini menghubungkan para penyumbang yang budiman dan penulis yang berbakat dalam usaha menghargai idea dan memelihara ilmu dalam kalangan masyarakat.

DanaBuku dibangunkan setelah projek penyelidikan FundMyBook berjaya mencapai sasaran. Penyelidik dengan usaha sama para alumni FundMyBook meneruskan konsep sebegini dengan membangunkan pelantar DanaBuku. Kini pelantar ini dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Booktube Malaysia.

Industri buku di Malaysia sedang mengalami suasana yang suram. Walaupun terdapat banyak faktor dikaitkan dengan penurunan ini, faktor ekonomi seperti kos operasi dalam penerbitan dan kuasa beli yang lemah dalam kalangan masyarakat merupakan penyumbang utama.
Kejatuhan industri buku tidak hanya memberi kesan kepada perniagaan tetapi ia juga boleh mengancam pembangunan ilmu dan bakat dalam kalangan penulis yang berbakat dan berilmu.

Crowdfunding merupakan satu usaha pengumpulan dana secara kreatif daripada individu-individu bagi merealisasikan projek mereka. Kaedah ini menjadi salah satu dana alternatif untuk para usahawan dan juga projek-projek komuniti tanpa keuntungan. Walaupun terdapat pelbagai model crowdfunding, ia tidak dinafikan bertujuan merealisasikan impian, bakat dan idea yang mana semua itu tidak akan tercapai tanpa bantuan kewangan.

DanaBuku mengaplikasi dua konsep: sumbangan dan hadiah. Para pendana menyumbang wang mereka untuk projek buku, setelah buku berjaya dicetak para penulis akan menghadiahkan sebahagian buku mereka kepada pendana. Baki buku akan dijual, disumbang untuk institusi tertentu atau dijadikan hadiah oleh para penulis.

DanaBuku menyediakan pelantar yang efisyen dalam pengumpulan dana kempen. Ia boleh membantu penulis terutamanya penulis swa-terbit untuk mendapatkan dana, supaya mereka boleh memberikan tumpuan kepada penulisan dan proses penerbitan. Manakala untuk syarikat penerbitan, mereka boleh menerbitkan manuskrip daripada penulis mereka tanpa mengambil masa yang lama. Dalam masa yang sama, Danabuku boleh bertindak sebagai medium promosi kepada buku yang bakal diterbitkan.

DanaBuku mengutamakan ketelusan dan amanah dalam pengurusan dana. Ia memastikan setiap kertas cadangan untuk projek penerbitan buku dinilai dengan teliti supaya hanya buku-buku yang memiliki kualiti sahaja yang dipilih. Begitu juga, penyerahan dana hanya akan dilakukan jika para penulis memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pelantar ini. Ia penting dalam mengekalkan keyakinan para pendana terhadap usaha murni ini.

Mahu kumpul dana?
Daftar sekarang!

Daftar Penulis Panduan Pendaftaran